KENYATAAN MEDIA GERAK
MENGENAI KEPIMPINAN UNIVERSITI
DAN KRISIS COVID19
GERAK ingin menarik perhatian tentang arahan penutupan
universiti dan tekanan kepada mahasiswa-mahasiswi untuk pulang ke kampung pada
17 Mac 2020 dalam mana suasana sekatan perjalanan dilaksanakan keesokan harinya.
GERAK mendapati banyak kekeliruan yang timbul dengan
arahan-arahan yang bertentangan. Ini telah menyebabkan para pelajar kebingungan
akibat kepimpinan universiti yang kurang kewibawaan serta kurang proaktif.
Pertama, setelah arahan sekatan perjalanan diumumkan
pada 16 Mac yang lalu, yang mana pihak kerajaan mengarahkan semua universiti
ditutup. Pelbagai tanggapan salah kemudian wujud yang mana terdapat beberapa universiti
yang mengarahkan pelajar untuk pulang ke kampung. Seharusnya apabila arahan
tutup diumumkan, pelajar tidak boleh keluar kampus. Mereka hendaklah kembali ke
tempat kediaman masing-masing, untuk memenuhi tujuan pengasingan yang
dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Penutupan universiti bukanlah bermakna pelajar diarah
keluar kampus dan balik kampung, dengan berpusu-pusu ke stesen bas, keretapi
atau lapangan kapalterbang. Tindakan terburu-buru oleh kepimpinan beberapa
universiti amat dikesali kerana menyebabkan peningkatan risiko jangkitan Covid19
di kalangan para pelajar. Risiko ini kemudiannya meningkat apabila Ketua Polis
Negara meminta mereka yang ingin melakukan perjalanan selepas jam 12.00 malam
pada 17 Mac perlu ada surat kebenaran polis. Ini telah menyebabkan begitu ramai
pelajar menyerbu balai-balai polis untuk mendapatkan surat tersebut.
GERAK amat berdukacita terhadap arahan-arahan yang tidak
bernas dan membahayakan keselamatan dan nyawa para pelajar yang telah
dikeluarkan pada 17 Mac terutamanya oleh pihak pengurusan universiti. Ianya
seakan-akan tidak memikirkan implikasi serius yang bakal menimpa para pelajar
dan juga orang ramai.
Kedua,
GERAK amat kesal bahawa pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak
memberikan garis panduan yang jelas untuk mengendali situasi ini. Dalam suasana
sebegini, malangnya, kepimpinan tidak menyerlah langsung. Semua ini
mencerminkan ketidaksediaan pihak pemimpin atasan – di KPT dan di
universiti-universiti – untuk menghadapi bencana dan kegawatan yang sudah
timbul.
Seharusnya pihak Kementerian memberi petunjuk atau garis panduan yang jelas dengan mengendahkan seruan pakar perubatan untuk menenangkan suasana, agar pihak pengurusan univesiti dapat memikirkan cara terbaik untuk menangani masalah dan untuk membantu mengendalikan keadaan. Ini tidak berlaku.
Ketiga,
GERAK juga berpendapat pihak perwakilan pelajar patut terlibat dalam operasi
ini. Dalam keadaan sebegini, pihak universiti dan mahasiswa seharusnya berbincangan
untuk kepentingan bersama, bukan hanya memberi arahan berbentuk top-down yang sesungguhnya
tidak menyelesaikan masalah. Universiti adalah satu komuniti.
Mahasiswa adalah golongan penting dalam komuniti ini; tiada pelajar, tiada
Universiti. Mereka juga paling jelas tentang situasi mereka sendiri .
Keempat,
pihak kakitangan akademik harus juga memainkan peranan dalam memberi buah
fikiran untuk menangani kemelut yang wujud ini demi kepentingan awam dan
kesejahteraan penduduk. Perbincangan mengenai langkah-langkah terbaik untuk
dilaksanakan juga perlu digalakkan, apakah sekatan penuh, sekatan separa atau
usaha mitigasi yang perlu diutamakan dalam menghadapi serangan Covid19? Pihak
pengurusan universiti harus menggunakan kepintaran dan kreativiti mereka
sendiri. Bukankah universiti diterajui oleh sarjana-sarjana yang disegani?
GERAK mendesak peristiwa yang penuh dengan keliruan
dan membahayakan keselamatan para pelajar tidak lagi berulang. Sekarang, setiap
universiti patut sudah ada pelan tindakan untuk menyambut balik para pelajarnya
setelah tamat Perintah Kawalan Pergerakan. Dalam keadaan sekarang, pihak
pemimpin seharusnya mengunakan kepakaran yang sedia ada dan tidak hanya
bertindak dalam kegelapan.
EXCO GERAK
+60166205242
22 Mac 2020
No comments:
Post a Comment
Please provide your name and affiliation