23 March 2020

KEPIMPINAN UNIVERSITI DAN KRISIS COVID19




KENYATAAN MEDIA GERAK
MENGENAI KEPIMPINAN UNIVERSITI DAN KRISIS COVID19




GERAK ingin menarik perhatian tentang arahan penutupan universiti dan tekanan kepada mahasiswa-mahasiswi untuk pulang ke kampung pada 17 Mac 2020 dalam mana suasana sekatan perjalanan dilaksanakan keesokan harinya.

GERAK mendapati banyak kekeliruan yang timbul dengan arahan-arahan yang bertentangan. Ini telah menyebabkan para pelajar kebingungan akibat kepimpinan universiti yang kurang kewibawaan serta kurang proaktif.

Pertama, setelah arahan sekatan perjalanan diumumkan pada 16 Mac yang lalu, yang mana pihak kerajaan mengarahkan semua universiti ditutup. Pelbagai tanggapan salah kemudian wujud yang mana terdapat beberapa universiti yang mengarahkan pelajar untuk pulang ke kampung. Seharusnya apabila arahan tutup diumumkan, pelajar tidak boleh keluar kampus. Mereka hendaklah kembali ke tempat kediaman masing-masing, untuk memenuhi tujuan pengasingan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Penutupan universiti bukanlah bermakna pelajar diarah keluar kampus dan balik kampung, dengan berpusu-pusu ke stesen bas, keretapi atau lapangan kapalterbang. Tindakan terburu-buru oleh kepimpinan beberapa universiti amat dikesali kerana menyebabkan peningkatan risiko jangkitan Covid19 di kalangan para pelajar. Risiko ini kemudiannya meningkat apabila Ketua Polis Negara meminta mereka yang ingin melakukan perjalanan selepas jam 12.00 malam pada 17 Mac perlu ada surat kebenaran polis. Ini telah menyebabkan begitu ramai pelajar menyerbu balai-balai polis untuk mendapatkan surat tersebut.

GERAK amat berdukacita terhadap arahan-arahan yang tidak bernas dan membahayakan keselamatan dan nyawa para pelajar yang telah dikeluarkan pada 17 Mac terutamanya oleh pihak pengurusan universiti. Ianya seakan-akan tidak memikirkan implikasi serius yang bakal menimpa para pelajar dan juga orang ramai.

Kedua, GERAK amat kesal bahawa pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak memberikan garis panduan yang jelas untuk mengendali situasi ini. Dalam suasana sebegini, malangnya, kepimpinan tidak menyerlah langsung. Semua ini mencerminkan ketidaksediaan pihak pemimpin atasan – di KPT dan di universiti-universiti – untuk menghadapi bencana dan kegawatan yang sudah timbul.

Seharusnya pihak Kementerian memberi petunjuk atau garis panduan yang jelas dengan mengendahkan seruan pakar perubatan untuk menenangkan suasana, agar pihak pengurusan univesiti dapat memikirkan cara terbaik untuk menangani masalah dan untuk membantu mengendalikan keadaan. Ini tidak berlaku.

Ketiga, GERAK juga berpendapat pihak perwakilan pelajar patut terlibat dalam operasi ini. Dalam keadaan sebegini, pihak universiti dan mahasiswa seharusnya berbincangan untuk kepentingan bersama, bukan hanya memberi arahan berbentuk top-down yang sesungguhnya tidak menyelesaikan masalah. Universiti adalah satu komuniti. Mahasiswa adalah golongan penting dalam komuniti ini; tiada pelajar, tiada Universiti. Mereka juga paling jelas tentang situasi mereka sendiri .

Keempat, pihak kakitangan akademik harus juga memainkan peranan dalam memberi buah fikiran untuk menangani kemelut yang wujud ini demi kepentingan awam dan kesejahteraan penduduk. Perbincangan mengenai langkah-langkah terbaik untuk dilaksanakan juga perlu digalakkan, apakah sekatan penuh, sekatan separa atau usaha mitigasi yang perlu diutamakan dalam menghadapi serangan Covid19? Pihak pengurusan universiti harus menggunakan kepintaran dan kreativiti mereka sendiri. Bukankah universiti diterajui oleh sarjana-sarjana yang disegani?

GERAK mendesak peristiwa yang penuh dengan keliruan dan membahayakan keselamatan para pelajar tidak lagi berulang. Sekarang, setiap universiti patut sudah ada pelan tindakan untuk menyambut balik para pelajarnya setelah tamat Perintah Kawalan Pergerakan. Dalam keadaan sekarang, pihak pemimpin seharusnya mengunakan kepakaran yang sedia ada dan tidak hanya bertindak dalam kegelapan.



EXCO GERAK
+60166205242


22 Mac 2020