Kriteria Kenaikan Pangkat Profesor IPT

PERGERAKAN TENAGA AKADEMIK MALAYSIA (GERAK)

Maklumbalas terhadap cadangan KPT menetapkan kriteria dan baseline untuk kenaikan pangkat profesor di semua IPT

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menubuhkan satu kumpulan pakar bagi penyediaan garis panduan standard untuk perlantikan profesor di IPT. Kumpulan pakar tersebut telah memberi perbentangan mengenai draf garis panduan kepada ahli-ahli Majlis Kerja GERAK di Putrajaya pada 22 Februari 2010.

GERAK menyokong baik usaha murni ini untuk menambahbaik cara perlantikan profesor dengan mengadakan satu standard minimum. Adalah diharapkan dengan adanya garis panduan ini, mertabat para profesor dan akademik, amnya akan dapat ditingkatkan.

GERAK juga menyokong KPT menetapkan standard minimum dan setiap IPT menentukan standard masing-masing yang lebih tinggi. Ini selaras dengan konsep autonomi universiti.

Selain dari apa yang telah dikatakan semasa perbentangan di Putrajaya bulan lepas, GERAK ada lagi beberapa pandangan dan cadangan untuk menambahbaik garis panduan standard tersebut. GERAK mengharapkan pihak Kumpulan Pakar berkenaan serta KPT akan memberi pertimbangan dan sokongan sewajarnya terhahadap cadangan GERAK ini.

Kertas ini ada tiga bahagian iaitu: kriteria, standard dan perlaksanaan. Ianya merujuk kepada deraf yang telah dibentang pada sesi perbentangan tersebut.

KRITERIA

GERAK ingin mencadangkan beberapa perubahan kepada kriteria yang digunakan untuk perlantikan dan kenaikan pangkat profesor.

1) Penyelidikan

GERAK tidak setuju taraf penyelidik utama dan dana penyelidikan diguna untuk kriteria penyelidikan. Kedua-duanya tidak mengambarkan kuantiti dan kualiti penyelidikan. Kalau seseorang mempunyai dana penyelidikan yang rendah tidak semestinya kualiti penyelidikannya rendah. Kita patut gunakan penerbitan sebagai pengukur kualiti dan kuantiti penyelidikan, seperti lazim dipraktikkan di universiti luar negara. Dicadangkan dihapuskan terus kriteria penyelidikan, penyelidik utama dan dana penyelidikan. Kuantiti dan Kualiti penyelidikan boleh dilihat dari kuantiti dan kualiti penerbitan.

2) Penerbitan

Semua hasil kerja penulisan yang berasas penyelidikan hendaklah ditimbang. Ini termasuk jurnal, buku, prosiding, antarabangsa dan tempatan. Satu sistem penilaian kuantiti penerbitan yang berasaskan markah perlu digubalkan, dimana markah diberi bergantung kepada jenis penerbitan. Sistem yang dilaksanakan di USM boleh diambil sebagai contoh,

Selain dari kuantiti penerbitan, kualiti penerbitan juga mesti dinilai. Factor-faktor seperti bilangan citation, H index dan G index perlu ditimbangkan. Ini mudah dilaksanakan untuk jurnal antarabangsa berbahasa Inggeris kerana ada beberapa badan yang memantau dan mengindekskan penerbitan. Bagi makalah terbitan Malaysia atau berbahasa Melayu, tidak ada badan sedemikian. Untuk tujuan ini satu badan menindeks (indexing) penerbitan Malaysia perlu di tubuhkan. (Update: Sudah ada Malaysian Abstracting and Indexing System - MyAIS)

Peranan seseorang dalam penghasilan sesuatu penerbitan juga perlu ditimbang. Kita tidak mahu seseorang itu mempunyai banyak penerbitan tetapi kebanyakannya menumpang. Di sini markah diberi bagi penulis tunggal, penulis utama atau penyelidik utama.

3) Hasil kerja professional yang bukan penerbitan

Pertimbangan harus diberi terhadap hasil kerja profesional bukan penerbitan seperti paten, rekabentuk bangunan oleh akitek, kemahiran klinikal oleh doktor, lagu oleh pemuzik dan sebagainya. Untuk tujuan ini satu sistem penilaian kerja profesional perlu digubalkan. Pertimbangan juga perlu diberi untuk mengunakan hasil kerja profesional untuk menganti sebahagian dari keperluan penerbitan. Mungkin boleh diganti sehingga 30% keperluan penerbitan.

4) Pengajaran

Pengajaran mesti ditimbangkan sebagai tugas yang sama berat dengan penyelidikan. Penekanan ini sudah mula diperhati dan dilaksanakan di Barat. Satu makalah dilampirkan dibawah sebagai rujukan. Penilaian kuantiti dan kualiti pengajaran mesti dilakukan dengan serious. Penilaian pelajar yang tidak objektif tidak patut digunakan.

Dari segi kuantiti, ianya boleh dilihat dari segi bilangan jam pengajaran (kuliah, tutorial, perbincangan dsb). Kualiti pula boleh dilihat dari segi anugarah pengajaran. Sekira adanya masalah atau aduan mengenai pengajaran, markah perlu dikurangkan. Peranan dalam kajian kurikulum, MQF pengajaran dsb.

5) Pengantarabangsaan

Seseorang calon profesor hendaklah menunjukkan kesohoran di peringkat antarabangsa. Penilaiannya boleh diukur melalui penyertaan dan perbentangan di persidangan antarabangsa luar negara, cuti sabatikal dan cuti penyelidikan diluar negara dan penerbitan bersama dengan penyelidik luar negara.

6) Mentoring

Seorang calon profesor mesti telah terlibat dalam pengalakan perkembangan akademik dikalangan pensyarah lain. Ini boleh dilihat dari mengetuai kumpulan penyelidik, bilangan pensyarah muda dari kalangan ahli kumpulan penyelidik, penerbitan penyelidikan berbilang penulis.

7) Penyeliaan

Pertimbangan harus diberi kepada bidang kajian dan kedudukan ipt yang susah untuk mendapatkan calon ijazah lanjutan. Kiraan bilangan PhD dan Master yang telah lengkap tidak patut diasingkan. 2 ijazah master hendaklah dianggap bersamaan dengan satu ijazah PhD.

8) Sanjungan akademik

Penilaian sanjungan akademik tidak patut dihadkan hanya kepada perbentangan keynote atau plenary. Kegiatan lain juga perlu ditimbangkan seperti anugerah akademik, fellowship, keahlian profesional dan perlantikan sebagai pemeriksa luar, editor jurnal, referee dan sebagainya.

9) Sumbangan kepada masyarakat

Mempengerusi sesuatu jawatankuasa tidak cukup untuk mengambarkan sumbangan seseorang kepada masyarakat. Faktor lain yang perlu juga ditimbangkan seperti perkhidmatan profesional, perundingan, penulisan dalam majalah popular, suratkhabar dan surat kepada editor

10) Perundingan

Tawaran untuk kerja perundingan tidak seragam disemua bidang. GERAK mengesyorkan perundingan tidak digunakan sebagai kriteria utama tetapi sebagai satu komponen sumbangan kepada masyarakat.

11) Pentadbiran

GERAK amat setuju tugas pentadbiran tidak dimasukkan sebagai satu kriteria. Para akademik tidak mempunyai peluang yang yang sama untuk memegang jawatan pentadbiran. Tambahan pula, kerja pentadbiran mempunyai sistem ganjaran tersendiri. Bagaimanapun tugas pentadbiran boleh diambilkira sebagai sumbangan kepada masyarakat

RINGKASAN CADANGAN GERAK UNTUK

KRITERIA KENAIKAN PANGKAT PROFESOR

1) Penerbitan
Kuantiti: Markah untuk jenis penerbitan atau tajuk jurnal
Kualiti: Bilangan citation, H index atau G index
Peranan: Penulis tunggal, penulis utama

2) Hasil kerja profesional yang bukan penerbitan
Kuantiti:
Kualiti:

3) Pengajaran
Kuantiti: Jam kuliah, Jam tutorial, perbincangan dsb.
Kualiti: Anugerah, Penulisan, aduan(-)
Peranan: JK Kurikulum, kualiti dsb

4) Pengantarabangsaan
Persidangan antarabangsa: Perbentangan kertaskerja
Penyelidikan bersama dengan penyelidik luar negara: Penerbitan
Cuti sabatikal, cuti penyelidikan di luar negara

5) Mentoring
Kumpulan penyelidik: Ketua kumpulan, Bilangan penyelidik, pensyarah
Penerbitan: Penerbitan berbilang penulis

6) Penyeliaan
Bilangan pelajar pascaijazah yang selesai

7) Sanjungan Akademik
Anugerah: Fellowship, keahlian badan profesional dsb.
Peranan: Pemeriksa luar, editor

8) Sumbangan kepada masyarakat
Penerbitan: Majalah popular, suratkhabar
Peranan: Perkhidmatan professional, perundingan, pentadbiran

Keperluan:
1) Sistem penilaian kuantiti penerbitan seragam untuk semua ipt
2) Perkhidmatan indexing penerbitan Malaysia (Update: Sudah ada Malaysian Abstracting and Indexing System - MyAIS)

3) Sistem penilaian hasil kerja professional yang bukan penulisan
4) Sistem saraan dimana saraan meningkat dengan penikatan standard dari baseline.


STANDARD

Standard untuk setiap komponen hendaklah ditentukan berdasarkan keadaan semasa di IPT. Ia tidak sepatutnya berdasar kepada apa yang berlaku di negara maju luar negara. Kalau hendak dinaikkan standard, naiklah berperingkat-peringkat, 10 % setahun. Peningkatan standard hendaklah sesuatu yang boleh dicapai dalam masa 1-2 tahun. Kenaikan pangkat profesor adalah berasaskan kepada prestasi kerja akademik selama 15-25 tahun. Pencapaian ini tidak boleh diubah atau tambah dengan mudah dalam masa 1-2 tahun. Ianya tidak adil bagi seseorang yang hampir-hampir layak.

Di Malaysia ada berbagai jenis IPTA yang mempunyai penekanan yang berbeza terhadap pengajaran dan penyelidikan. Ada IPTA dimana pensyarahnya mengajar lebih dari 20 jam seminggu dan ada yang mengajar hanya satu kursus satu tahun. Ianya tidak adil ditetapkan standard penyelidikan (jumlah penerbitan) yang sama bagi semua IPTA. Dicadangkan penyelidikan dan pengajaran dilihat bersama. Kalau beban pengarannya tinggi, jumlah penerbitan yang diperlukan dikurangkan. Begitu juga sebaliknya. Kalau beban pengajarannya rendah, maka jumlah penerbitannya ditinggikan. Perbezaan jumlah penerbitan diantara kedua-dua kes mungkin 2-3 kali ganda diantara satu dengan lain.

Standard hendakah bukan saja melihat perbezaan antara IPT tetapi juga perbezaan antara bidang. Ada bidang yang menekankan penerbitan di jurnal antarabangsa dan ada bidang yang menekankan penerbitan di jurnal tempatan atau bahasa tertentu. Ada bidang yang senang menghasilkan penerbitan dan ada juga bidang yang susah untuk menghasilkan penerbitan.

PERLAKSANAAN

Satu masalah yang mungkin timbul apabila sebuah IPTA ingin meletakkan standard yang lebih tinggi dari yang lain. Sistem saraan pensyarah yang ada sekarang adalah sama bagi semua IPTA. Ini akan timbul keadaan dimana IPTA mempunyai standard yang berbeza tapi gaji sama. Ini adalah satu keadaan yang tidak adil dan tidak sihat kerana mungkin menimbulkan keadaan dimana pensyarah akan berpindah ke IPTA yang standardnya rendah, seperti yang berlaku ketika ini.

Selagi sistem saraan sama di semua IPTA, stadard kenaikan pangkat tidak boleh mempunyai banyak perbezaan. Jika ada IPTA yang inginkan standard yang lebih tinggi, satu sistem ganjaran tambahan (elaun, bonus, peningkatan gred gaji dsb.) perlu diperkenalkan. Penambahan ganjaran mestilah berkadar dengan peningkatan standard.

Mencampuraduk semua kriteria untuk mendapatkan satu angka bagi pencapaian seseorang calon adalah tidak tepat dan tidak sesuai (kes menghitung epal dengan orange sekali). Setiap kriteria hendaklah dikira berasingan. Sistem permarkahan hendaklah terbuka (open ended). Seseorang calon boleh mendapat markah melebihi 100% untuk sesuatu kriteria untuk menunjukkan prestasinya yang berlebihan.

Untuk layak dipertimbangkan, seseorang calon mesti dapat sekurang-kurangnya 80 % bagi setiap kriteria. Bagi pencapaian melebihi 100% bagi semua kriteria, kenaikan pangkat hendaklah automatik. Hanya bagi markah antara 80 dan 100 %, pertimbangan Jawatankuasa Pemilih/Kenaikan Pangkat digunakan.

PENUTUP

Demikianlah pandangan dan cadangan yang dapat diberikan dalam masa yang singkat ini. GERAK harap ianya dapat diberi pertimbangan dan sokongan yang sewajarnya. Lebih banyak pertemuan harus diadakan antara kumpulan pakar dengan GERAK, sebagai wakil akademik IPTA dan IPTS Malaysia untuk memurnikan lagi garis panduan profesor ini. Matlamat bersama kita semestinya menjadikan bidang akademik sebagai satu bidang kerjaya pilihan pertama seperti perubatan. Kita mesti boleh menarik ‘top brain’ untuk menjadi ahli akademik.

Sekali lagi saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kerana memberi peluang kepada GERAK memberi pandangan mengenai isu ini. Tolong hubungi Setiausaha GERAK jika ada bahagian kertas ini yang memerlukan penerangan lanjut. GERAK harap perbincangan kita tidak hanya setakat pertemuan bulan lepas kerana kebajikan para akademik adalah isu berterusan. GERAK menunggu jemputan untuk pertemuan akan datang.


LAMPIRAN

TOMORROW'S PROFESSOR(sm) eMAIL NEWSLETTER
http://cgi.stanford.edu/~dept-ctl/cgi-bin/tomprof/postings.php