PERSATUAN KAKITANGAN AKADEMIK UNIVERSITI MALAYA (PKAUM)
Kenyataan Media
2 Jun 2010
PKAUM mengambil maklum kritikan terhadap majlis syarahan awam dan perbincangan mengenai buku Barry Wain, Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times yang telah disiarkan di dalam beberapa akhbar cetak dan elektronik.
Majlis tersebut merupakan satu wacana ilmiah dengan Sdr. Barry Wain, penulis buku tersebut serta tiga tokoh akademik Universiti Malaya. Ianya telah dijalankan dengan cara matang dan aman. Tidak ada dari kalangan para hadirin yang terdiri dari berbagai kaum dan peringkat umur, yang membantah terhadap apa yang dibincangkan atau apa yang tertulis di dalam buku tersebut.
PKAUM menganggap kritikan terhadap majlis syarahan awam tersebut sebagai mengkhianati kebebasan akademik dan autonomi universiti. PKAUM merasa sedih kerana masih banyak pihak yang kurang arif dan kurang prihatin terhadap fungsi universiti. Ramai yang masih beranggapan universiti adalah sebuah sekolah besar berasrama, tinggi sikit dari sekolah menengah.
Kekangan kepada universiti untuk menganjur sebarang majlis ilmiah akan membantut usaha menjadikan Universiti Malaya sebuah universiti bertaraf dunia. Bertaraf dunia tidak hanya bermaksud penarafan (ranking) tinggi. Ianya juga menghendakkan budaya akademik yang matang, sihat dan bebas. PKAUM menggesa semua pihak menghormati dan menghayati kebebasan akademik dan autonomi universiti. Bebaskan universiti untuk membina satu persekitan akademik yang sihat dan maju. Universiti Malaya tidak mahu kekal sebagai sebuah universiti dunia ketiga.
Azmi Sharom
Presiden
Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM)
No comments:
Post a Comment
Please provide your name and affiliation