20 October 2011

KENYATAAN MEDIA GERAK

19 October 2011

GERAK ingin menarik perhatian terhadap tohmahan dan tekanan didalam media terhadap tokoh akademik Profesor Abdul Aziz Bari.

GERAK merasa terkilan atas celaan berbentuk peribadi yang telah dikenakan terhadap beliau. Prof Abdul Aziz adalah seorang yang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau. Mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya menghujah balas secara rasional dan profesional tanpa sebarang ugutan atau celaan pribadi.

Sebagai seorang ahli akademik, Prof Abdul Aziz berhak menyatakan pendapat seperti yang telah dilakukannya. Ini adalah sebahagian dari kebebasan akademik yang dipunyai oleh setiap ahli akademik. Mana-mana negara yang mahukan universiti mereka disanjungi dan dihormati sebagai universiti bertaraf dunia pasti menyokong, menghormati dan melindungi kebebasan akademik ini.

Kebebasan akademik ini telah disaran oleh UNESCO melalui satu dokumen bertajuk Recommedation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel. Dokumen ini telah diluluskan oleh perhimpunan agung UNESCO pada 11 November 1997. Kebebasan akademik ada termaktub dalam artikel 26 dan 27 Recommendation tersebut. Antara hak yang dinyatakan dalam Recommendation tersebut ialah:

“hak untuk menyumbang kepada perubahan sosial melalui kebebasan menyatakan pendapat mereka terhadap dasar-dasar negara dan dasar-dasar yang memberi kesan kepada pendidikan tinggi. Mereka tidak seharusnya dikenakan apa-apa penalti semata-mata kerana mengguna hak tersebut”

GERAK menyeru semua pihak supaya menghayati dan menghormati kebebasan akademik. Semua pihak hendaklah akur terhadap Recommendation tersebut pada bila-bila masa. Keperihatinan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders) dalam perkara ini amat perlu untuk memertabatkan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi antarabangsa dengan universiti-universitinya bertaraf dunia.




Diedarkan bagi pihak GERAK oleh


Rosli H Mahat
Setiausaha Agung
Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK)

5 comments:

  1. PERSATUAN KAKITANGAN AKADEMIK
    UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA

    KENYATAAN MEDIA
    21 Oktober 2011

    Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PKA UIAM) ingin menyatakan sokongannya terhadap Professor Aziz Bari di dalam menjalankan amanahnya sebagai seorang murabbi dan sarjana Perlembagaan Malaysia. Kami berasa terkilan atas campur-tangan pihak luar pada sistem pendidikan di negara ini yang sepatutnya bebas dan bersifat professional. Tohmahan serta tekanan yang tidak berasaskan ilmu yang dilemparkan kepada Professor Aziz Bari hanya membuang masa dan merendahkan status negara di mata dunia. Professor Aziz Bari adalah seorang yang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau. Ini adalah seperti yang dinyatakan didalam Al Qur’an:

    Surah al-Anbiya’ (21:7): “Kami tiada mengutus rasul-rasul sebelum kamu, melainkan beberapa orang-laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui.”

    Mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya memberi beliau ruang untuk berdebat secara lebih terbuka seperti yang dinyatakan didalam Al Qur’an:

    Surah al-Baqarah (2:111): “Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanya angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".

    Ini akan menyemarakkan keilmuan di negara ini. Professor Aziz Bari sepatutnya diberi penghargaan kerana berjaya membuat satu negara berfikir dan memberi reaksi di dalam pelbagai cara. Beliau bagaimanapun tidak harus dihukum kerana reaksi pihak ketiga ini.

    Sebagai seorang ahli akademik, Professor Aziz Bari berhak menyatakan pendapat seperti yang telah dilakukannya. Ini adalah sebahagian dari kebebasan akademik yang dipunyai oleh setiap ahli akademik. Mana-mana negara yang mahukan
    universiti mereka disanjungi dan dihormati sebagai universiti bertaraf dunia pasti menyokong, menghormati dan melindungi kebebasan akademik ini.

    Kami tidak mahu tindakan ini kelak dijadikan satu 'precedence' pada masa akan datang kerana ia boleh menyekat sumbangan intelektual dari ahli akademik terhadap isu-isu kenegaraan sama ada yang dianggap sensitif atau sebaliknya. Sebarang tafsiran dan pandangan yang dibuat dari hasil kepakaran seseorang ahli akademik sewajarnya disambut secara lapang dada oleh mana-mana pihak. Kritikan inteletek adalah sangat penting di dalam dunia akademik kerana dengannya budaya keilmuan di sesebuah universiti itu boleh berkembang dan menyumbang sesuatu kepada pembangunan anak bangsa dan negara.

    Kebebasan akademik ini telah disaran oleh UNESCO melalui peruntukan dalam “Recommendation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel” yang dihasilkan melalui persidangan UNESCO pada 11 November 1997, seperti dalam Artikel 26 dan 27 yang berbunyi:
    “the right to contribute to social change through freely expressing their opinion of state policies and of policies affecting higher education”.

    PKA UIAM menyeru semua pihak supaya menghayati dan menghormati kebebasan akademik. Keprihatinan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders) dalam perkara ini amat perlu untuk memertabatkan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi antarabangsa dengan universiti-universitinya bertaraf dunia.

    Sekian. Terima kasih.

    Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PKA UIAM)

    ReplyDelete
  2. JANGAN WARISI SIKAP FIRAUN DAN NAMRUD-FAKTA JAWAB DENGAN FAKTA BUKAN TUNJUK SEBAB & GANTUNG TUGAS

    [Dan (pada saat itu) berkatalah pula seorang lelaki yang beriman dari orang-orang Firaun yang menyembunyikan imannya: "Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana ia menegaskan: 'Tuhanku ialah Allah?' - sedang ia telah datang kepada kamu membawa keterangan-keterangan dari Tuhan kamu? kalau ia seorang yang berdusta maka dia lah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan kalau ia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian dari (azab) yang dijanjikannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta.] (al-Mu'min, 40: 28)


    Pelanggaran terhadap 'demokrasi ilmu' yang menyintap hati warga akademik, para ilmuan, pelajar dan masyarakat yang cintakan kebebasan ilmu. Sungguh mengejutkan, apabila Prof Dr Abdul Aziz Bari digantung tugas oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA) hanya kerana membuat kenyataan untuk membetulkan kekeliruan yang timbul. Ia hanya mengeluarkan pandangan sebagai ahli akademik yang mempunyai kepakaran dalam bidang undang-undang perlembagaan. Beliau telah menyumbangkan kepakarannya dan membuat banyak kenyataan dan telah siarkan dalam pelbagai media.

    Sebagai pakar undang-undang Prof Dr Abdul Aziz bukanlah melakukan jenayah melainkan beliau hanya mengeluarkan pandangan dan kritikan berasaskan ilmu dan kepakarannya. Walapun kenyataan beliau menyentuh pihak tertentu seperti sultan dan pihak kerajaan, namun terang dan jelas kenyataan beliau masih dalam kerangka disiplin ilmu. Cuma yang berbeza disiplin ilmu yang dipegangnya berlainan dengan landasan ilmu pihak-pihak lain.

    Sarjana dan ilmuan atau pakar bidang melandaskan pandangan dan pendapat dalam bidangnya secara jujur dan amanah adalah satu langkah yang bijak dan menepati disiplin ilmu sekalipun pandangan dan pendapat tersebut membuka ruang perbahasan dan perdebatan yang hebat. Namun yakinilah ia masih berada digelanggang ilmu dan disiplin para cendekiawan. Hujah dan debat adalah proses mencari kebenaran untuk menyuburkan minda dan kematangan. Prinsip keilmuan di mana-mana universiti dalam dunia ini ialah ?hujah lawan hujah? atau ?fakta lawan fakta? bukan ?hujah lawan cerca? atau ?fakta lawan kekerasan.

    Kebebasan akademik ini telah disaran oleh UNESCO melalui peruntukan dalam ?Recommendation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel? yang dihasilkan melalui persidangan UNESCO pada 11 November 1997, seperti dalam Artikel 26 dan 27 yang berbunyi:
    'the right to contribute to social change through freely expressing their opinion of state policies and of policies affecting higher education'.

    Pada hemat PKA UTM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, masih belum mampu menepati kualiti sebuah gedung ilmu yang bertaraf antarabangsa apabila melayani desakan pihak luar, mengambil tindakan menggantung tugas Prof Dr. Aziz Bari. Sekiranya amalan ini berterusan, maka masa depan university-universiti di Malaysia akan terus tersingkir dari senarai kelompok 400 atau 500 buah universiti terbaik dunia. Pendirian PKA selaras dengan kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang turut menyuarakan rasa 'terganggu dan sedih mendengar kes tersebut'.

    Sehubungan dengan itu sebagai warga akademik kami turut amat tersinggung dan teruja dengan perkembangan ini. Ia budaya yang tidak sihat dan amalan yang menyalahi disiplin yang murni serta mencabar kewibawaan imuan. Mahasiswanya dibelenggu dengan AUKU dan aku janji, kini pensyarahnya pula berdepan dengan tindakan yang mencemar kebebasan akademik.
    Sehubungan itu, PKA UTM berdoa dan berharap semoga Prof. Dr. Abdul Aziz Bari segera dibebaskan dan penggantungannya ditarik balik.


    PM Dr Aminuddin Ruskam
    Presiden PKA UTM

    ReplyDelete
  3. Ikatan Ilmuan Nasional (ILMUAN)Monday, 24 October, 2011

    KENYATAAN MEDIA
    21 Oktober 2011

    ILMUAN ingin menarik perhatian terhadap tohmahan dan tekanan di dalam media terhadap tokoh akademik Profesor Dr. Abdul Aziz Bari.

    ILMUAN amat memandang berat penghinaan yang dilemparkan kepada Prof. Dr. Abdul Aziz Bari yang mengutarakan pandangan berdasarkan kepakaran beliau dalam bidang undang-undang.

    ILMUAN merasa terkilan atas celaan berbentuk peribadi yang telah dikenakan terhadap beliau kerana Prof Dr. Abdul Aziz adalah seorang yang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau. Mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya berhujah balas secara rasional dan profesional tanpa sebarang ugutan atau celaan pribadi.

    Professor Abdul Aziz Bari sepatutnya diberi penghargaan kerana berjaya membuat satu negara berfikir dan memberi reaksi di dalam pelbagai cara. Beliau bagaimanapun tidak harus dihukum kerana reaksi pihak ketiga ini.

    Mana-mana negara yang mahukan universiti mereka disanjung dan dihormati sebagai universiti bertaraf dunia pasti menyokong, menghormati dan melindungi kebebasan akademik ini.

    Sebagai seorang ahli akademik, Prof Dr. Abdul Aziz berhak menyatakan pendapat seperti yang telah dilakukannya kerana ia merupakan sebahagian daripada kebebasan akademik yang dimiliki oleh setiap ahli akademik. Mana-mana negara yang mahukan universiti mereka disanjungi dan dihormati sebagai universiti bertaraf dunia pasti menyokong, menghormati dan melindungi kebebasan akademik ini.

    Kebebasan akademik ini telah disaran oleh UNESCO melalui satu dokumen bertajuk Recommedation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel. Dokumen ini telah diluluskan oleh perhimpunan agung UNESCO pada 11 November 1997. Kebebasan akademik ada termaktub dalam artikel 26 dan 27 Recommendation tersebut. Antara hak yang dinyatakan dalam Recommendation tersebut ialah:

    “hak untuk menyumbang kepada perubahan sosial melalui kebebasan menyatakan pendapat mereka terhadap dasar-dasar negara dan dasar-dasar yang memberi kesan kepada pendidikan tinggi. Mereka tidak seharusnya dikenakan apa-apa penalti semata-mata kerana mengguna hak tersebut”

    ILMUAN menyeru semua pihak supaya menghayati dan menghormati kebebasan akademik dalam usaha untuk memartabatkan dunia akademik di Negara ini. Semua pihak hendaklah akur terhadap ketetapan/pandangan tersebut pada bila-bila masa. Semua pihak, amat perlu untuk bekerjasama mematangkan rakyat Malaysia untuk memartabatkan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi antarabangsa standing dengan universiti-universiti bertaraf dunia.

    Diedarkan bagi pihak ILMUAN oleh

    Dr. Mohd Fuad Mohd Salleh
    Presiden
    Ikatan Ilmuan Nasional (ILMUAN)

    ReplyDelete
  4. PKAUKM telah membuat pendirian sebelum ini dan tidak akan campur tangan isu ini. PKAUKM percaya pengurusan IIUM dan IIUMASA akan menyelesaikan isu cara terbaik. Semua ahli akademik bebas menyuarakan pendirian dalam bidang kepakaran masing-masing dan tetap terikat dengan undang-undang di Malaysia, termasuk pekeliling kerajaan mengena penjawat awam. PKAUKM tidak melarang ahli PKAUKM menghadiri Forum atas dasar peribadi.

    PM Datin Noor Aziah
    PKAUKM

    ReplyDelete
  5. Razli Che Razak, UUMWednesday, 02 November, 2011

    AsSalaam sahabatku Rosli

    Bukan semua yang ditulis itu betul. Itu pandangan penulis dalam MalaysiaKini. Saya menghormati kepelbagaian pendapat. Kami dah bincang di mesyuarat PERSATU dan mengambil keputusan tidak mahu masuk campur. Banyak lagi kes lebih besar dari ini di IPTA tempatan lain yang tidak dipolitikan media dan kita di UUM juga tidak mahu terlibat bersama.

    Kami juga memahami takrifan kebebasan akademik mengikut pandangan Prof Ulung Dr Mohd Kamal Hasan (ISTAC), rujuk BH 27Okt 2011.
    Kata Prof Ulung Dr Mohd Kamal Hassan.
    "Ahli akademik tidak seharusnya terikut-ikut dengan rentak mana2 kumpulan luar atau desakan parti politik, tetapi mestilah memberi pandangan mereka secara beretika, bertanggungjawab, tidak egoistik, tidak emosional, tidak berpihak dan sedar akan batas2 etika atau tatasusila tempatan. Kebebasan akademik tidak bererti kebebasan mutlak, tetapi ahli akademik mempunyai kebebasan bersuara dan memberi pandangan ilmiah sesuai dengan kepakaran bidang masing-masing".

    Saya juga berharap tuan dapat menghormati perbezaan pandangan sahabat kita yang lain.

    Terimakasih.

    Razli

    ReplyDelete

Please provide your name and affiliation